Sulitnya Bangun Awal Sebelum Subuh


263314_542626735748194_394468901_n

Menyingkap Cahaya Di Sebalik Kegelapan Subuh – Di sana ada sinar kekuatan bagi mukmin sejati!
“ Tidak ada kelazatan di dunia ini, kecuali pada tiga hal : (1) Qiamullail, (2) Bertemu dengan saudara-saudara seiman, (3) Solat berjemaah.”

Ibnu Munkadir

Sahabat pembaca, perasan atau sedar kah kita – kadang-kadang kita begitu sukar dan sulit untuk bangun awal di sepertiga malam? Mudah kata, payah sungguh untuk bangun dan terjaga dari tidur sebelum azan Subuh dilaungkan dan dikumandangkan.
Walhal, ada saatnya kita begitu mudah bangkit daripada lamunan tidur yang nyenyak dan melenakan kita.

Selimut yang ringan itu, terasa begitu berat seperti besi yang mengeras.
Kepala sendiri bagaikan ditolak sesuatu yang memberatkan. Seolah-olah ada konkrit seberat 100 tan menghempas ke muka kita.- Ia melekat erat berbekas di wajah.
Mata yang terpejam itu, bagaikan di”gam” kan oleh gam cap gajah buatan tahi “mata” sendiri.

Pernah kah kita mengalami keadaan dan situasi sebegini?
Jika saya – sejujurnya, pernah bahkan sentiasa dan selalu. Hambatan, kekangan dan ujian untuk bangkit dan bangun daripada tidur adalah mujahadah dan perjuangan yang terbesar saya di awal pagi yang dingin dan hening itu!
Itulah yang saya alami. Saya mencari-cari apa sebabnya, apa puncanya dan kenapa boleh jadi sebegini ? Mungkin tidur lewat sangat kot.
Tidur dengan tenang dan nyaman sekali.

Mencari Punca
Saya membelek-belek sebuah buku mencari sesuatu dalam kitab,Tazkiyah hasil tulisan Ustaz Cahyadi Takariawan dan Ghazali Mukri. Buku yang penuh dengan taujih untuk jiwa dan hati. Buku yang mereka rumuskan daripada sebuah kitab “ Al Bahrur Ra’iq fiz Zuhdi war Raqa’iq” karya Dr Ahmad Farid.
Perkongsian yang ingin saya petik dan kongsikan di sini ialah berkisar, – kenapa begitu sulit, payah dan sukarnya untuk kita gerakan diri untuk bangkit di awal pagi yang hening untuk mendirikan qiamullail dan melaksanakan munajat khusus kita dengan rabb kita.

Pernah suatu ketika, ada orang bertanya kepada Ibnu Mas’ud RA :
“ Kami tidak mampu dan boleh bangun malam.”
Jawab Ibnu Mas’ud :
“ Ini kerana, dirimu dijauhkan oleh dosa-dosamu.”
Kisah lainnya, ada orang berkata kepada tabiin yang soleh lagi warak iaitu Hassan al-Basri :
“ Saya tidak boleh bangun malam. Berikanlah aku penawarnya!,”
Kata Hassan al-Basri dengan tenang :
“ Janganlah kalian bermaksiat kepada Allah SWT di siang hari, nescaya Dia akan membangunkan kalian di hadapan-Nya di malam hari.”
At-Tsauri pernah berkata :
“ Saya terhalangi untuk melakukan qiamullail selama lima bulan kerana suatu dosa yang telah saya kerjakan.”

Apa yang boleh kita simpulkan? Apakah yang sebenarnya yang menjadi penghalang kita dalam usaha menghidupkan sunnah mengimarahkan malam bersama Allah SWT?
Jelas. Jawapannya ialah kerana hati kita kotor, hitam, jijik dan rosak. Ini semua lantaran dan asbabnya ialah dosa-dosa, maksiat-maksiat dan noda-noda yang kita buat berulang kali kepada Allah SWT!
Lantaran itu, antara nasihat yang berbekas dan menyentuh hati saya ialah :
“ Janganlah memperbanyakan dosa di siang hari, sebab perbuatan dosa akan menyebabkan hati keras dan terhalang untuk mendapat rahmat daripada Allah SWT.”
Jauh mengaudit diri, merenungi akan perjalanan waktu dan hari-hari yang telah berlalu. Persoalannya, bagaimana dengan kita semua? Terlalu, jauhkan kita daripada kasih sayang Allah SWT sehingga kita tidak terdetik dan tersedar langsung untuk berazam dan bertekad untuk menjadi ahli malam dan perindu syurga?
MasyaAllah, saya tersentuh lagi dengan kata-kata Ibnu Munkadir :
“ Tidak ada kelazatan di dunia ini, kecuali pada tiga hal iaitu qiamullail, bertemu dengan saudara-saudara seiman dan solat berjemaah.”

Penutup : Sejujurnya, kita bagaimana?
Bagaimana dengan kita? Soal untuk bangun awal pagi bukannya bergantung kepada kekuatan luaran dan fizikal kita semata-mata, tetapi ia bergantung kepada keadaan dan kekuatan dalaman kita iaitu kondisi hati kita. Bersihkan ia, jernihkan ia dan bagaimana hati ini hidup berhubungan dengan Rabb-Nya ? – Dan, inilah fokus kita apabila berbicara dengan soal kekuatan.
Kita maklumi,amalan bangun awal sebelum Subuh, adalah amalan para Rasul, para sahabat salafusoleh, para tabiin, para alim ulamak dan pejuang-pejuang agama Allah SWT daripada dahulu sehinggalah sekarang. Dah, ketahuilah ia menjadi kayu ukur kekuatan dan prasyarat untuk meraih bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT.
Jika kita, menyatakan kita adalah individu yang tegar dalam perjuangan deen, perjuangan agama dan perjuangan demi perjuangan – perhalusi hal-hal ini. Berwaspadalah, tentang hakikat kekuatan sebenar dalam perjuangan ini. Kuantiti, kualiti, angka, nombor dan sebagainya – harus diteliti sedalam-dalamnya dalam membicarakan tentang “akar” perjuangan. Ini kerana, sesebuah perjuangan akan rapuh jika tidak ditunjangi oleh akar kekuatan yang benar-benar utuh, kukuh dan mantap.

Related Post

Sulitnya Bangun Awal Sebelum Subuh Unknown Rating: 5 Saturday 23 March 2013

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...