Soal Jawab Remaja – Tips Fokus Belajar


Focus-on-Studying-Step-1
Assalamualaikum cikgu, mohon nasihat cikgu, saya sering tidak fokus dengan study saya, bagaimana cara terbaik untuk saya atasi masalah ini. Bila saya hilang fokus saya cepat rasa bosan. Macamana nak buat ni? (Syarifah Aminah – Melalui FB)
Dengan nama Allah Yang Memiliki Segenap Ilmu, Ya Allah, Tuhan yang mengajar nabi Ibrahim akan hikmah, ajarkan kami, ya Allah Tuhan yang mengajar nabi Sulaiman akan kefahaman, berilah kefahaman kepada kami.“
Alhamdulillah, soalan ini sering di tanya oleh para pelajar di setiap ceramah motivasi belajar yang saya hadir.
Baiklah, untuk sejenak, cuba bayangkan kita naik sebuah teksi, pemandunya tidak fokus ketika memandu, terhoyong hayang teksi tu. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Agak-agak kita rasa selamat tak? Apa perasaan kita? Agaknya, kita nak tak naik teksi yang pemandunya seperti ini?
Begitu juga dengan study kita. Apabila kita tidak fokus, bererti kita sedang memandu kereta study kita seperti pemandu teksi tadi. Sebab tu study kita tak lancar. Jika tidak diurusi, kita akan berdepan dengan masalah. Ada beberapa tips yang boleh dikongsikan bagaimana kita boleh meningkatkan fokus study kita. Jom kita try. J
Tips 1 – Tekan butang “pause” – rehat seketika
Berhenti dan rehat seketika. Faktor terbesar yang mempengaruhi tumpuan adalah rehat yang cukup dan ini telah diperakui oleh banyak kajian. Penumpuan memerlukan minda anda sentiasa  tenang dan rileks. Tetapi pemikiran anda akan terganggu jika anda tidak cukup rehat. Pastikan anda mendapat jumlah tidur yang cukup dan pada masa yang tepat. Jangan tidur pada waktu yang tidak sesuai, ianya akan mengganggu ketenangan otak. Sebaiknya mempunyai masa tidur yang tetap, dan ini merupakan langkah utama untuk meningkatkan tumpuan belajar. Belajar dalam keadaan tidak cukup rehat akan mendatangkan rasa letih dan kepenatan.
Rancang waktu rehat anda dengan gunakan setting masa pada jam atau HP anda. Jika anda merancang waktu rehat, anda tidak akan terlepas waktu untuk menyegarkan diri, atau anda tidak pula asyik kerap berehat dan berehat. J
Kenapa perla ambil waktu untuk rehat seketika? Otak anda memerlukan masa untuk cas semula selepas ia memproses sekumpulan maklumat. Dalam beberapa kajian, berehat dan berjalan seketika akan meningkatkan daya ingatan memori kita menjadi lebih baik.
Tips 2 – Masih tekan butang “pause” lagi – muhasabah diri
Berhenti seketika dan muhasabah diri. Kenapa kita tidak fokus? Apa sebabnya? Apa puncanya? Jika kerana kita kurang keseriusan, atau kerana kita kerap membuang masa, maka perbaiki sikap kita. Check hati kita. Bagaimana hubungan hati kita dengan Allah. Anda solat  tak? Doa tak? Solat sunat tak? Masa study berwuduk tak? Luruskan kembali matlamat belajar. Ambil masa rehat sebentar, tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan perlahan sambil di dalam hati katakan, Ya Allah, kuatkan diri ini! Ya Allah, berikan kefahaman kepada diri ini. Ya Allah, tolong hamba-Mu ini!
Lakukan kaedah penghapusan (zero defect) dengan istighfar. 10kali, 21 kali, 33 kali, 70 kali, 100 kali. InsyaAllah, kekuatan akan muncul. Dan kembali study.
Tips 3 – Buatlah perancangan
Sentiasa mempunyai rancangan untuk apa sahaja yang  anda mahu lakukan. Rancang masa ulangkaji, masa rehat, masa bersantai, masa sosial, masa outing, masa khas dengan Allah SWT. Jika tiada perancangan maka anda akan belajar mengikut rasa hati anda. Miliki jadual hidup. Dalam jadual kehidupan adanya jadual belajar.
Tips 4 – Elakkan Gangguan dan belajar di tempat yang sesuai
Anda perasan tak, semasa kita study, dalam masa yang sama kita sering melayan FB, SMS, menonton TV or Youtube, layan panggilan masuk dan macam-macam lagi. Semua ini faktor gangguan fokus. Adalah tidak bijak untuk belajar dengan HP disisi, walaupun anda sudah set vibrate. Sebaik sahaja sms baru masuk, anda akan melihat. Kita ini manusia! Anda tidak boleh fokus pada belajar jika anda sedang berbual dengan seseorang yang lain atau melayan sms. Maka,  tutup seketika HP anda.
Carilah tempat belajar yang sesuai. Terkadang, bilik tidur atau bilik darjah kita bukanlah tempat terbaik untuk belajar. Cari tempat yang tenang, selesa, ada kerusi dan meja, anda boleh duduk dengan sebaik-baiknya tanpa televisyen, komputer atau telefon bimbit dalam jangkauan anda.
Katakan Tidak! Ya, tidak pada ajakan kawan anda yang tidak penting. Ajakan kawan yang tidak penting merupakan satu bentuk gangguan fokus. Berterus terang padanya, katakan anda perlu menyelesaikan ulangkaji anda dulu.
Cari tempat yang ada ruang udara yang lancar. Jauh dari kebisingan dan gangguan bunyi. Perpustakaan atau bilik study khas adalah tempat yang terbaik.
Tips 5 – Memilih masa yang sesuai
Ia akan membantu anda meningkatkan pusat perhatian kepada study. Bilakah waktu anda belajar yang terbaik adalah saat yang paling produktif. Jika anda seorang jenis bangun pagi, maka study waktu pagi. Jika anda merupakan jenis “burung hantu”, maka study waktu malam. Anda tahu diri anda lebih baik daripada orang lain,  maka tentukan masa yang terbaik apabila anda berada di kemuncak fokus anda dan kurangnya rasa letih. Ia akan menjadi lebih sukar untuk fokus jika anda sedang melawan keletihan dan masanya tidak sesuai.
Masalah utama pelajar ialah bila waktunya hendak belajar, isu ini adalah kritikal. Maka yang baik ialah belajar harus dilakukan hanya apabila anda dalam keadaan rehat yang cukup, dan memilih masa belajar yang sesuai.
Tips 6 – Memberi ganjaran kepada diri sendiri
Ini kadang-kadang membantu jika ianya boleh mendorong anda  menjadi rajin . Sebagai contoh, anda mungkin mengatakan yang saya akan lakukan 30 minit kerja rumah, maka saya akan memberi ganjaran diri saya dengan 15 minit menonton televisyen atau 10minit melayari FB. Atau, setelah berjaya dari pagi hingga ke tengahari melakukan latih tubi menjawab soalan, maka sebelah petangnya outing ke bandar atau ke pantai. Lama-kelamaan, anda membina tabiat melakukan tugas tanpa mengharap sebarang ganjaran. Namun, insyaAllah jika anda jelas bahawa belajar adalah satu ibadah kepada Allah, maka anda akan punya semangat dan fokus untuk belajar kerana akan mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT.
Tips 7 – Membahagikan tugas yang lebih besar kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil
Kadang-kadang, kita rasa beban dan tidak semangat belajar kerana kita merasakan banyak sangat tugas belajar yang perlu di buat. Maka fokusnya mula menurun. Sebaliknya, kita boleh elakkan perasaan ini dengan membahagikan tugasan anda mengikut sub topik dan keutamaan. Mulakan yang anda minat dan suka dahulu. Perlahan-perlahan anda bergerak ke bahagian-bahagian yang lain. InsyaAllah dengan cara ini dapat mengelakan rasa tertekan, bosan, kecewa dan stress.
Tips 8 – Pilih rakan belajar anda yang tepat.
Pilihlah seseorang yang serius untuk berjaya dan berfokus seperti anda. Jangan belajar dengan kawan yang suka berbual dan bermain-main, ianya hanya membuang masa anda. Memiliki rakan kongsi belajar yang osem adalah satu idea yang hebat. Anda boleh berkongsi pandangan, mengagihkan tugasan, saling berbincang dan menjawab soalan. Sewajarnya pilih seseorang yang lebih bijak dari anda. Ia kedengaran seperti sinis, tetapi banyak orang terlepas pandang akan hal ini. Jika anda mahu belajar, memilih rakan belajar yang pintar, berdedikasi, dan tidak keberatan mengajar kita. Sesi belajar anda akan menjadi  lebih baik. Kumpulan belajar yang efektif akan dapat meningkatkan kuasa fokus belajar.  Cuma jangan jadikan kumpulan belajar kita tempat bergosip atau mengadu domba. J
Tips 9 – Amalkan kaedah belajar yang efektif.
Sebagai contoh, disiplinkan masa belajar anda 30 minit. Gunakan alat penjaga masa samada dengan jam atau HP anda dan tumpukan belajar anda selama 30 minit tanpa gangguan. Kemudian berehat 5 minit. Kembali dan ulang lagi 30 minit dan kemudian rehat lagi. Selepas 4 sesi, berehatlah 30 minit. Pergilah ke luar, menonton tv, meregangkan otot, dan melakukan apa sahaja yang anda mahu. Kadang-kadang kita berasa berat belajar kerana apa yang kita lihat ialah bahawa kita perlu belajar selama 4 jam. Pelbagaikan pendekatan dan anda akan rasa seronok belajar. Fokus akan meningkat apabila kita seronok.
Tips 10 – Bina Kekuatan Motivasi
Apabila setiap kali anda merasa seperti hilang fokus, maka bisikan pada diri anda kata-kata yang dapat menguatkan motivasi anda untuk kembali fokus. Ingat, belajar ini adalah masa depan kita. Bukan sahaja di dunia malahan di akhirat sana. Allah menjanjikan kepada hamba-Nya yang berilmu ini kelebihan beberapa darjat.
Motivasi yang kuat khususnya dari dalam hati kita akan mendorong kita bersungguh dan berfokus. Bacalah Al Quran sebagai penguat jiwa. Bacalah buku-buku motivasi dan kisah-kisah orang berjaya. Jangan pernah tinggal untuk berdoa dan berharap. Lemah motivasi akan menenggelamkan potensi dan menggelapkan masa depan anda. Sering hilang fokus adalah mungkin kerana jiwa kita tidak tenang dan celaru. Serabut dan bermasalah. Motivasinya adalah dengan kembali kepada fitrah, carilah Allah dalam kehidupan anda.
Selamat berjaya dan menikmati saat indah menjadi pelajar!

Related Post

Soal Jawab Remaja – Tips Fokus Belajar Team Pecah Berita Rating: 5 Tuesday, 23 April 2013

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...