Home
Islam
Fatwa dan nasihat tentang menipu & April Fool
Fatwa dan nasihat tentang menipu & April Fool
Fatwa dan nasihat Shaikh Dr Yusuf al-Qaradawi, Shaikh Atiyah Saqr dan Shaikh Salih Fauzan tentang menipu & April Fool
Pada 1 April setiap tahun, sebahagian masyarakat menyambut hari
tersebut dengan mengadakan perbuatan menipu atau gurauan untuk
mengenakan orang lain. Mereka memanggil tarikh 1 April ini sebagai April
Fool.
Kita sedia maklum bahawa April Fool bukanlah budaya
kita, tetapi ia merupakan budaya yang dibawa masuk dari Barat. Dan ISLAM
juga sangat-sangat melarang ummatnya melakukan perbuatan menipu dengan
sengaja, walau dalam bentuk apa sekalipun, samada dalam bentuk gurauan
ataupun bukan.
Mari kita lihat beberapa pendapat `ulama muktabar berkaitan isu April Fool ini:
1) Shaikh Dr. Yusuf al-Qaradawi:
Beliau menyebutkan bahawa menipu adalah satu sifat yang buruk. Ia tidak
layak diamalkan oleh manusia yang berakhlak dan beriman. Bahkan ia
adalah satu petanda kemunafikan. Ini kerana Rasulullah sallAllahu
`alaihi wasallam bersabda:
“Orang munafik mempunyai tiga ciri: Dia menipu, tidak menepati janji, dan tidak menunaikan amanah.” [HR al-Bukhari dan Muslim]
Rasulullah sallAllahu Alaihi Wassalam memberikan amaran ke atas
perbuatan menipu dengan tujuan menghiburkan manusia. Baginda sallallahu
`alaihi wasallam bersabda:
“Kecelakaan ke atas sesiapa yang
menipu untuk menghiburkan manusia, kecelakaan ke atasnya, kecelakaan ke
atasnya.” [HR Abu Daud, at-Tirmizi, dan an-Nasai’e]
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam juga bersabda:
“Seseorang itu tidak dikira benar-benar beriman hinggalah dia
meninggalkan penipuan yang bertujuan untuk bergurau dan meninggalkan
berdebat walaupun dia membawa kebenaran.” [HR Ahmad dan At-Thabrani].
Sebahagian hadis Nabi sallallahu `alaihi wasallam turut memberikan
amaran ke atas umat Islam daripada menakutkan orang lain sama ada secara
serius mahupun bergurau. Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam
bersabda:
“Tidak dibenarkan seseorang menakutkan seorang Muslim.” [HR Abu Daud]
Oleh kerana itu, menipu adalah dilarang di dalam apa bentuk pun.
Sambutan ini (hari April Fool) adalah dilarang kerana empat sebab:
Larangan menipu yang sudah termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
Kesedihan dan ketakutan yang tidak berasas (yang disebabkan penipuan
itu) yang mungkin boleh menimpa seseorang mahupun kesemua ahli
keluarganya walaupun hanya untuk satu jam.
Pengkhianatan ke atas kepercayaan yang diberikan.
Meniru budaya buruk yang bukan milik kita, iaitu penipuan.
2) Shaikh Atiyyah Saqr:
Adalah menjadi kesepakatan kesemua agama dan akal yang waras bahawa
kejujuran itu satu kebaikan, dan penipuan adalah lawannya. Untuk
menyatakan kebenaran, kata-katamu hendaklah menerangkan realiti,
sedangkan untuk menyatakan penipuan adalah dengan menyampaikan apa yang
bercanggah dengan apa yang kamu katakan mahupun lakukan. Seburuk-buruk
pendustaan adalah sumpah yang palsu, bahkan itu adalah satu bentuk
kemunafikan.
Penipuan adalah dilarang kecuali ia dilakukan
dalam keadaan dharurat. Di dalam kes tersebut, kaedah “dharurat
menjadikan yang haram harus” digunakan. Dharurat hanya boleh diambil
apabila tiada pilihan lain. Salah satu bentuk penipuan yang dibenarkan
ialah apa yang kita panggil sebagai helah, iaitu menggunakan perkataan
yang membawa lebih daripada satu maksud. Umat Islam mungkin boleh
mengambil pemahaman yang positif daripada penafsiran perkataan (yang
mempunyai dua makna) tersebut.
Diriwayatkan bahawa penipuan
dibenarkan untuk memberikan manfaat, bukan untuk melakukan kerosakan.
Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:
“Seseorang
yang mendamaikan di antara dua insan dan berkata perkara yang baik,
walaupun ia tidak benar, bukanlah seorang penipu.” [HR al-Bukhari dan
Muslim].
Ummu Kalsum binti ‘Uqbah turut berkata, di dalam
tambahan lafaz ke atas hadis itu, “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah
sallAllahu `alaihi wasallam membenarkan menipu kecuali di dalam tiga
situasi; ketika perang, untuk mendamaikan di antara dua pihak yang
bertelagah, dan perbualan biasa antara suami isteri.” Apa yang
dimaksudkan dengan perbualan biasa antara suami isteri ialah untuk
meredakan kesusahan di dalam kehidupan. [Islamonline.net]
3) Shaikh Shalih Fauzan:
Di dalam laman islamqa.com fatwa nombor: 10834, beliau menyatakan bahawa:
Penipuan adalah tidak dibenarkan langsung, pada bila-bila masa sahaja.
Bahkan adalah tidak dibenarkan untuk meniru orang kafir dan menjadi
seperti mereka, sama ada pada hari ini (hari April Fool), mahupun pada
hari-hari yang lain. Ini kerana Rasulullah sallAllahu `alaihi wassalam
bersabda:
“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka.”
Berdasarkan fatwa-fatwa di atas, kita akan mendapati bahawa budaya
April Fool jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menuntut umat
Islam sentiasa bersifat jujur.
Muslimin/muslimat sekalian,
Jika tanpa melihat fatwa dan pandangan ulama pun, kita sedia maklum
bahawa amalan menipu melanggar etika seorang manusia yang bermoral.
Tiada satu pun manusia yang normal fikirannya yang suka atau rela dia
ditipu.
Apatah lagi ditambah lagi dengan komen-komen para ulama
yang disertakan hadith-hadith Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang
melarang kita menipu, maka ternyatalah bahawa tradisi April Fool ini
wajar dihentikan dan ditinggalkan oleh mereka yang selalu menyambutnya,
walau untuk tujuan bergurau!
Related Post
Fatwa dan nasihat tentang menipu & April Fool
Unknown
Rating: 5
Saturday 30 March 2013
No comments: