Assalamualaikum cikgu, mohon nasihat cikgu, saya sering tidak
fokus dengan study saya, bagaimana cara terbaik untuk saya atasi masalah
ini. Bila saya hilang fokus saya cepat rasa bosan. Macamana nak buat
ni? (Syarifah Aminah – Melalui FB)
Dengan nama Allah Yang Memiliki Segenap Ilmu, Ya Allah, Tuhan yang
mengajar nabi Ibrahim akan hikmah, ajarkan kami, ya Allah Tuhan yang
mengajar nabi Sulaiman akan kefahaman, berilah kefahaman kepada kami.“
Alhamdulillah, soalan ini sering di tanya oleh para pelajar di setiap ceramah motivasi belajar yang saya hadir.
Baiklah, untuk sejenak, cuba bayangkan kita naik sebuah teksi,
pemandunya tidak fokus ketika memandu, terhoyong hayang teksi tu.
Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Agak-agak kita rasa selamat tak? Apa
perasaan kita? Agaknya, kita nak tak naik teksi yang pemandunya seperti
ini?
Begitu juga dengan study kita. Apabila kita tidak fokus, bererti kita
sedang memandu kereta study kita seperti pemandu teksi tadi. Sebab tu
study kita tak lancar. Jika tidak diurusi, kita akan berdepan dengan
masalah. Ada beberapa tips yang boleh dikongsikan bagaimana kita boleh
meningkatkan fokus study kita. Jom kita try. J
Tips 1 – Tekan butang “pause” – rehat seketika
Berhenti dan rehat seketika. Faktor terbesar yang mempengaruhi
tumpuan adalah rehat yang cukup dan ini telah diperakui oleh banyak
kajian. Penumpuan memerlukan minda anda sentiasa tenang dan rileks.
Tetapi pemikiran anda akan terganggu jika anda tidak cukup rehat.
Pastikan anda mendapat jumlah tidur yang cukup dan pada masa yang tepat.
Jangan tidur pada waktu yang tidak sesuai, ianya akan mengganggu
ketenangan otak. Sebaiknya mempunyai masa tidur yang tetap, dan ini
merupakan langkah utama untuk meningkatkan tumpuan belajar. Belajar
dalam keadaan tidak cukup rehat akan mendatangkan rasa letih dan
kepenatan.
Rancang waktu rehat anda dengan gunakan setting masa pada jam atau HP
anda. Jika anda merancang waktu rehat, anda tidak akan terlepas waktu
untuk menyegarkan diri, atau anda tidak pula asyik kerap berehat dan
berehat. J
Kenapa perla ambil waktu untuk rehat seketika? Otak anda memerlukan
masa untuk cas semula selepas ia memproses sekumpulan maklumat. Dalam
beberapa kajian, berehat dan berjalan seketika akan meningkatkan daya
ingatan memori kita menjadi lebih baik.
Tips 2 – Masih tekan butang “pause” lagi – muhasabah diri
Berhenti seketika dan muhasabah diri. Kenapa kita tidak fokus? Apa
sebabnya? Apa puncanya? Jika kerana kita kurang keseriusan, atau kerana
kita kerap membuang masa, maka perbaiki sikap kita. Check hati kita.
Bagaimana hubungan hati kita dengan Allah. Anda solat tak? Doa tak?
Solat sunat tak? Masa study berwuduk tak? Luruskan kembali matlamat
belajar. Ambil masa rehat sebentar, tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan
perlahan sambil di dalam hati katakan, Ya Allah, kuatkan diri ini! Ya
Allah, berikan kefahaman kepada diri ini. Ya Allah, tolong hamba-Mu ini!
Lakukan kaedah penghapusan (zero defect) dengan istighfar. 10kali, 21
kali, 33 kali, 70 kali, 100 kali. InsyaAllah, kekuatan akan muncul. Dan
kembali study.
Tips 3 – Buatlah perancangan
Sentiasa mempunyai rancangan untuk apa sahaja yang anda mahu
lakukan. Rancang masa ulangkaji, masa rehat, masa bersantai, masa
sosial, masa outing, masa khas dengan Allah SWT. Jika tiada perancangan
maka anda akan belajar mengikut rasa hati anda. Miliki jadual hidup.
Dalam jadual kehidupan adanya jadual belajar.
Tips 4 – Elakkan Gangguan dan belajar di tempat yang sesuai
Anda perasan tak, semasa kita study, dalam masa yang sama kita sering
melayan FB, SMS, menonton TV or Youtube, layan panggilan masuk dan
macam-macam lagi. Semua ini faktor gangguan fokus. Adalah tidak bijak
untuk belajar dengan HP disisi, walaupun anda sudah set vibrate. Sebaik
sahaja sms baru masuk, anda akan melihat. Kita ini manusia! Anda tidak
boleh fokus pada belajar jika anda sedang berbual dengan seseorang yang
lain atau melayan sms. Maka, tutup seketika HP anda.
Carilah tempat belajar yang sesuai. Terkadang, bilik tidur atau bilik
darjah kita bukanlah tempat terbaik untuk belajar. Cari tempat yang
tenang, selesa, ada kerusi dan meja, anda boleh duduk dengan
sebaik-baiknya tanpa televisyen, komputer atau telefon bimbit dalam
jangkauan anda.
Katakan Tidak! Ya, tidak pada ajakan kawan anda yang tidak penting.
Ajakan kawan yang tidak penting merupakan satu bentuk gangguan fokus.
Berterus terang padanya, katakan anda perlu menyelesaikan ulangkaji anda
dulu.
Cari tempat yang ada ruang udara yang lancar. Jauh dari kebisingan
dan gangguan bunyi. Perpustakaan atau bilik study khas adalah tempat
yang terbaik.
Tips 5 – Memilih masa yang sesuai
Ia akan membantu anda meningkatkan pusat perhatian kepada study.
Bilakah waktu anda belajar yang terbaik adalah saat yang paling
produktif. Jika anda seorang jenis bangun pagi, maka study waktu pagi.
Jika anda merupakan jenis “burung hantu”, maka study waktu malam. Anda
tahu diri anda lebih baik daripada orang lain, maka tentukan masa yang
terbaik apabila anda berada di kemuncak fokus anda dan kurangnya rasa
letih. Ia akan menjadi lebih sukar untuk fokus jika anda sedang melawan
keletihan dan masanya tidak sesuai.
Masalah utama pelajar ialah bila waktunya hendak belajar, isu ini
adalah kritikal. Maka yang baik ialah belajar harus dilakukan hanya
apabila anda dalam keadaan rehat yang cukup, dan memilih masa belajar
yang sesuai.
Tips 6 – Memberi ganjaran kepada diri sendiri
Ini kadang-kadang membantu jika ianya boleh mendorong anda menjadi
rajin . Sebagai contoh, anda mungkin mengatakan yang saya akan lakukan
30 minit kerja rumah, maka saya akan memberi ganjaran diri saya dengan
15 minit menonton televisyen atau 10minit melayari FB. Atau, setelah
berjaya dari pagi hingga ke tengahari melakukan latih tubi menjawab
soalan, maka sebelah petangnya outing ke bandar atau ke pantai.
Lama-kelamaan, anda membina tabiat melakukan tugas tanpa mengharap
sebarang ganjaran. Namun, insyaAllah jika anda jelas bahawa belajar
adalah satu ibadah kepada Allah, maka anda akan punya semangat dan fokus
untuk belajar kerana akan mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT.
Tips 7 – Membahagikan tugas yang lebih besar kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil
Kadang-kadang, kita rasa beban dan tidak semangat belajar kerana kita
merasakan banyak sangat tugas belajar yang perlu di buat. Maka fokusnya
mula menurun. Sebaliknya, kita boleh elakkan perasaan ini dengan
membahagikan tugasan anda mengikut sub topik dan keutamaan. Mulakan yang
anda minat dan suka dahulu. Perlahan-perlahan anda bergerak ke
bahagian-bahagian yang lain. InsyaAllah dengan cara ini dapat mengelakan
rasa tertekan, bosan, kecewa dan stress.
Tips 8 – Pilih rakan belajar anda yang tepat.
Pilihlah seseorang yang serius untuk berjaya dan berfokus seperti
anda. Jangan belajar dengan kawan yang suka berbual dan bermain-main,
ianya hanya membuang masa anda. Memiliki rakan kongsi belajar yang osem
adalah satu idea yang hebat. Anda boleh berkongsi pandangan, mengagihkan
tugasan, saling berbincang dan menjawab soalan. Sewajarnya pilih
seseorang yang lebih bijak dari anda. Ia kedengaran seperti sinis,
tetapi banyak orang terlepas pandang akan hal ini. Jika anda mahu
belajar, memilih rakan belajar yang pintar, berdedikasi, dan tidak
keberatan mengajar kita. Sesi belajar anda akan menjadi lebih baik.
Kumpulan belajar yang efektif akan dapat meningkatkan kuasa fokus
belajar. Cuma jangan jadikan kumpulan belajar kita tempat bergosip atau
mengadu domba. J
Tips 9 – Amalkan kaedah belajar yang efektif.
Sebagai contoh, disiplinkan masa belajar anda 30 minit. Gunakan alat
penjaga masa samada dengan jam atau HP anda dan tumpukan belajar anda
selama 30 minit tanpa gangguan. Kemudian berehat 5 minit. Kembali dan
ulang lagi 30 minit dan kemudian rehat lagi. Selepas 4 sesi, berehatlah
30 minit. Pergilah ke luar, menonton tv, meregangkan otot, dan melakukan
apa sahaja yang anda mahu. Kadang-kadang kita berasa berat belajar
kerana apa yang kita lihat ialah bahawa kita perlu belajar selama 4 jam.
Pelbagaikan pendekatan dan anda akan rasa seronok belajar. Fokus akan
meningkat apabila kita seronok.
Tips 10 – Bina Kekuatan Motivasi
Apabila setiap kali anda merasa seperti hilang fokus, maka bisikan
pada diri anda kata-kata yang dapat menguatkan motivasi anda untuk
kembali fokus. Ingat, belajar ini adalah masa depan kita. Bukan sahaja
di dunia malahan di akhirat sana. Allah menjanjikan kepada hamba-Nya
yang berilmu ini kelebihan beberapa darjat.
Motivasi yang kuat khususnya dari dalam hati kita akan mendorong kita
bersungguh dan berfokus. Bacalah Al Quran sebagai penguat jiwa. Bacalah
buku-buku motivasi dan kisah-kisah orang berjaya. Jangan pernah tinggal
untuk berdoa dan berharap. Lemah motivasi akan menenggelamkan potensi
dan menggelapkan masa depan anda. Sering hilang fokus adalah mungkin
kerana jiwa kita tidak tenang dan celaru. Serabut dan bermasalah.
Motivasinya adalah dengan kembali kepada fitrah, carilah Allah dalam
kehidupan anda.
Selamat berjaya dan menikmati saat indah menjadi pelajar!