Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi DAP Karpal
Singh pada petang ini bahawa calon-calon DAP akan menggunakan logo PAS
di Semenanjung Malaysia dan logo PKR di Sabah dan Sarawak di dalam
pilihanraya umum 5 Mei ini. Ini berikutan sehingga
jam 3 petang hari ini, DAP belum mendapat mendapat sebarang respon
penarikan balik surat penggantungan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC)
parti itu daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan juga tiada tanda-tanda
surat itu akan tiba.
Saya ingin melahirkan simpati kepada DAP
di atas tragedi yang menimpa mereka di saat-saat akhir penamaan calon
besok hari. Sudah tentu tidak dapat dibayangkan kesedihan yang melanda
ekoran terpaksa mengenepikan lambang rasmi yang telah digunakan zaman
berzaman. Isu logo sekalipun mungkin nampak kecil bagi sesetengah pihak,
tetapi ia melambangkan maruah dan harga sebuah perjuangan.
Dari sudut yang lain, kesediaan DAP menggunakan logo PAS ini saya
sifatkan sebagai detik bersejarah dalam perjuangan PAS semenjak lebih
separuh abad ia ditubuhkan. Dalam melayari bahtera politik tanah air,
PAS dan DAP sering dilagakan oleh UMNO/Barisan Nasional. Di hadapan
bangsa Melayu, pemimpin UMNO menakut-nakutkan mereka dengan bahaya DAP
dan begitu juga sebaliknya di hadapan bangsa Cina, mereka
digembar-gemburkan dengan imej PAS sebagai taliban, radikal dan
sebagainya. Natijahnya, Melayu Islam dan bukan Melayu terus hidup dalam
keadaan syak wasangka antara satu sama lain.
Hari ini, benteng
tersebut telah runtuh sepenuhnya. DAP tanpa takut-takut lagi telah
merobohkan persepsi ini apabila bertindak berani memilih logo PAS untuk
bertanding di kawasan-kawasan yang telah diperuntukkan kepada mereka
khususnya kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Cina. Saya kira,
inilah saat di mana perjuangan PAS sudah tidak menjadi kegerunan lagi
kepada bangsa Cina. Sekalipun ia masih belum diterima sepenuhnya, namun
sedikit demi sedikit ia telah hilang.
Saya mengimbau kembali
saat ketika Perjanjian Hudaibiyyah dimeterai antara Rasulullah SAW dan
orang-orang Musyrikin Mekkah. Kabilah-kabilah Arab di sekitar Madinah
yang masih belum memeluk Islam mengambil keputusan untuk bernaung di
bawah naungan kerajaan Islam Madinah. Di saat itulah, sahabat-sahabat
Rasulullah SAW diuji dengan rasa terhina akibat melihat secara zahir
bagaimana perjanjian tersebut berat sebelah. Namun kesabaran mereka
segera diganjari oleh Allah SWT apabila perjanjian tersebut membuka
peluang Rasulullah SAW menakluki kota Makkah apabila perjanian tersebut
dilanggar di mana Bani Khuzaah yang masih belum memeluk Islam dan
berlindung di bawah naungan Islam diserang oleh kaum Musyrikin.
Alhamdulillah, ketika UMNO masih menjaja keris tumpulnya merata-rata,
perjuangan PAS sudah mula diterima di kalangan non muslim. Ketika UMNO
main kayu tiga dengan perjuangan bangsa Melayu, PAS terus ke hadapan
membawa misi dakwah dengan slogan PAS for All. Non Muslim di sana sini
tidak lagi segan silu membawa bendera PAS dan sebaliknya tidak pernah
kita saksikan mereka membawa bendera keris tidak bersarung milik UMNO.
Saya yakin, benih Islamphobia yang disemai UMNO semakin mati tunasnya.
Keputusan DAP ini insya-Allah satu rahmat besar buat PAS. Ia sebenarnya
rezeki buat perjuangan Islam. Mungkin Barisan Nasional merasakan langkah
ini bakal membantutkan gerak langkah Pakatan Rakyat, namun sesungguhnya
ia mengandungi rahmat yang sangat besar. Jika Perjanjian Hudaibiyyah
membuka jalan kepada pembukaan kota Makkah, maka tidak mustahil langkah
kerajaan Barisan Nasional ini sedang membuka kepada pembukaan Putrajaya
dan pembinaan Malaysia Baru. Tidak mustahil tarikh 6 Mei 2013 nanti,
perayaan besar-besaran kemenangan rakyat akan berlangsung di seluruh
negara menyaksikan keruntuhan Barisan Nasional.
Yakinlah
keputusan ini membuka pintu sejarah yang akan dikenang zaman berzaman.
Inilah saatnya di mana akhirnya roket berjaya mendarat di bulan!
Salam hormat,
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
Bertarikh : 8 Jamadil Akhir 1434H bersamaan 19 April 2013
Penggunaan Logo PAS Oleh Calon DAP : Akhirnya Roket Mendarat Di Bulan
Penggunaan Logo PAS Oleh Calon DAP : Akhirnya Roket Mendarat Di Bulan
Team Pecah Berita
Rating: 5
Friday 19 April 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments: